DS Busuit - Premium Business Template for Joomla!

Banner
SEJARAH PENUBUHAN



Pengenalan

Tahun 2012 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) atau dahulunya dikenali sebagai KUKUM genap 10 tahun bermukim di negeri Perlis. Selain berfungsi sebagai institut pengajian tinggi yang memperkasakan pendidikan anak bangsa, UniMAP terus menggemilangkan negeri Perlis khususnya dan Malaysia amnya dalam pembangunan holistik. Umum mengetahui selain kecemerlangan dalam bidang penyelidikan yang menjadi teras kecemerlangan UniMAP, pembangunan komuniti turut menjadi peranan utama kewujudan UniMAP di kawasan pertumbuhan segitiga Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT).

Ibarat ‘cendawan tumbuh selepas hujan’, negeri Perlis akur dengan kewujudan UniMAP yang tumbuh dan terus berkembang di melata negeri sekaligus merubah lanskap negeri utara semenanjung ini.

Justifikasi

Malaysia menjelang 2020 begitu optimis menyusun strategi bagi memastikan semua agenda yang dirangka oleh kepimpinan negara bermula Tanah Melayu mencapai kemerdekaan sehinggalah ke hari ini. 5 pemimpin negara telah mewarisi pelbagai dasar dalam membangunkan bukan sahaja fizikal negara malah modal insan yang menjadi nadi penggerak negara.

UniMAP yang merupakan IPTA ke 17 ditubuhkan telah pun mengorak langkah ke arah menyokong melalui pelbagai inisiatif kepada setiap agenda kerajaan di peringkat nasional dan negeri Perlis. Penubuhan Unit Kajian Strategik (UKS) 4 tahun yang lalu telah memberikan impak yang besar kepada negeri Perlis selaras dengan misi dan visi yang ditetapkan oleh UniMAP. Dan kejayaan ini bukan sahaja dirasai oleh rakyat Perlis malah manfaat operasi UKS turut merentasi Asia Tenggara. Selain membantu kerajaan negeri Perlis dalam merangka Pelan Strategik ke arah Perlis Maju 2015 menerusi kajian dan program berimpak tinggi, UKS turut berperanan mentranformasikan adicita masyarakat dalam bidang pendidikan, sosial,  politik, sumber ekonomi dan pembangunan manusia. Inisiatif nasional yang menjadikan teras kepada setiap pelaksanaan program telah meyakinkan pihak UniMAP untuk menjalankan modus operasi unit tanpa batasan. Pelebaran amanah turut diberikan kepada unit ini saban tahun digerakkan bagi menilai ciri-ciri kepimpinan dalam melahirkan‘university leader’ menerusi latihan dan kursus yang berimpak tinggi. Hubungan kerjasama kerajaan dan NGO yang dicipta dan tercipta merupakan kekuatan kepada UKS dalam mengendalikan pelbagai aktiviti. Ini termasuklah apabila sesuatu dasar baru yang diumumkan kerajaan akan sentiasa dikaji dan disebarkan kepada komuniti kampus dan setempat. Justeru itu, dengan tempoh kematangan yang telah dibina, Unit Kajian Strategik dicadangkan untuk dinaiktaraf menjadi sebuah Institut iaitu dengan nama baru seperti cadangan yang diberikan.

3 elemen penting dalam penubuhan Institut ini iaitu Kajian Strategik, Kepimpinan dan Komuniti.

Kajian mengikut Kamus Dewan bermaksud kegiatan (usaha, proses) mengkaji atau dari perkataan asalnya kaji diertikan sebagai cabang ilmu pengetahuan, pengetahuan atau penyelidikan mengenai sesuatu.

Strategik pula hadir sekali dengan perkataan Strategi iaitu mengikut definisi persuratan Melayu diertikan sebagai muslihat untuk mencapai sesuatu, iaitu ilmu tentang merancang dan melaksanakan tindak tanduk dengan rancangan yang teratur (yang memperhitungkan pelbagai faktor) untuk mencapai matlamat atau kejayaan; ~ dua (tiga) serampang strategi yang terdiri daripada dua (tiga) rancangan atau pendekatan yang utama yang dilaksanakan sekali gus atau secara bersepadu. Ini bermaksud Kajian Strategik ialah satu usaha mengkaji sesuatu ilmu melalui proses ini akan meletakkan aktiviti dan hasil kajian itu di tempat yang terbaik. Bagi UniMAP elemen ini cukup penting untuk diwujudkan. Oleh kerana UniMAP berteraskan kepada kejuruteraan, aktiviti penyelidikan sosial khususnya kepada dasar-dasar dan polisi    kerajaan agak kurang difokuskan. Sebagai sebuah gedung ilmu, pastinya setiap dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan perlu diambil tindakan proaktif untuk dikaji dan dikembangkan. Perkembangan dasar dan polisi ini juga boleh  diterjemahkan melalui program dan aktiviti.

Kepimpinan menurut Kamus Dewan ialah keupayaan memimpin. Ia juga merujuk kepada kebolehan, pencapaian, tindak tanduk, kecekapan seseorang pemimpin. Bagi UniMAP kesinambungan kepimpinan perlu mempunyai teras yang strategik. Mentadbir sebuah universiti bukanlah mudah, jika diambil ringan, maka akan terumbang ambinglah sebuah organisasi. Dalam melahirkan barisan pemimpin universiti, pelbagai penilaian dan kompetensi diimplementasikan. Kewujudan pelan penggantian menjadi teras kepada semua organisasi malah termaktub di dalam pekeliling kerajaan. UniMAP turut mewujudkan ‘talent pool’ bagi melatih dan mempersiapkan calon-calon pemimpin universiti. Ini bertepatan dengan kehendak pemimpin Negara yang mengharapkan penciptaan pemimpin di akar umbi. Ketokohan kepimpinan di peringkat Negara dan negeri menjadi model kepada pembentukan personaliti pemimipin di UniMAP. Sikap karisma dan bertanggungjawab pastinya boleh dikongsikan oleh warga UniMAP melalui penubuhan Institut ini.

Elemen kemasyarakatan atau hari ini lebih dikenali sebagai komuniti. Menurut Kamus Dewan, komuniti bermaksud orang yang tinggal di sesuatu tempat, daerah, negara dsb (di bawah satu pemerintahan); masyarakat keseluruhannya; orang ramai. Ia juga ditafsirkan sebagai kumpulan individu yang mempunyai sifat-sifat (kecenderungan, kepentingan, dll) yang serupa: ~ akademik; ~ para ilmuwan. Kewujudan  UniMAP di tengah masyarakat ibarat ‘hujan emas’. Hubungan dengan masyarakat merupakan elemen yang cukup penting bagi sebuah universiti. Para ilmuwan dan cendiakawan yang terbina dalam gedung ini perlu dimanfaatkan oleh masyarakat sekeliling termasuk infrastuktur dan kemudahan yang dipunyainya. Dalam konteks ini, masyarakat atau komuniti meliputi kerajaan, sekolah, masyarakat setempat termasuk antarabangsa. Urusan harian universiti pastinya tidak terlepas dengan komuniti ini. Peranan sebelumnya yang aktif dimainkan oleh unit ini dalam membangunkan masyarakat, memacu sektor pendidikan dan menyokong agenda agensi-agensi kerajaan melalui program berimpak tinggi dan hubungan strategik pastinya. Institut yang bakal ditubuhkan ini akan terus merealisasikan pemacuan dan jalinan ini.

Last Updated on Tuesday, 19 March 2013 15:09
 

FAQs