DS Busuit - Premium Business Template for Joomla!

Banner
BERITA SKK-IPTA

Kuala Lumpur - 31hb Oktober 2012

Sumbangan kepakaran dan kemudahan UniMAP kepada beberapa sekolah di negeri Perlis telah diiktiraf oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Pengiktirafan ini diberikan apabila UniMAP bersama SMK Dato’ Sheikh Ahmad, Arau dan SK Sena, Kangar menerima beberapa anugerah semasa Majlis Anugerah Kecemerlangan Jalinan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) – Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) yang berlangsung semalam di Putrajaya.Dengan jalinan kerjasama antara UniMAP dan kedua-dua sekolah ini telah mengharumkan nama Perlis di peringkat kebangsaan. Program jalinan kerjasama antara IPTA dan Sekolah Kluster Kecemerlangan yang diwujudkan sejak tahun 2008 telah menempatkan 3 buah sekolah bersama UniMAP iaitu Sekolah Kebangsaan Sena (Fasa 1 & 2 : 2008-2011) dan SMK Dato’ Sheikh Ahmad, Arau serta SM Teknik Alor Star, Kedah (Fasa 3 & 4:2011-2013). Menerusi jalinan ini, IPTA dan Sekolah telah mewujudkan program kolaborasi dan aktiviti meliputi perintisan inovasi dalam kurikukulum, pengajaran dan pembelajaran serta keseluruhan pengurusan sekolah. Dengan kerjasama strategik sepanjang 5 tahun ini, UniMAP telah diiktiraf oleh Jawatankuasa Khas

Penilaian IPTA-SKK untuk menerima 5 anugerah bersama kedua-dua sekolah kluster kecemerlangan :
1. Anugerah Perdana dimenangi oleh UniMAP dan SMK Dato’ Sheikh Ahmad, Arau
(Menerima Sijil Penghargaan dan Piala)
Anugerah Perdana Jalinan IPTA-SKK : Anugerah paling tinggi ini dianugerahkan kepada pasangan jalinan IPTA-SKK atas usaha mereka dalam Amalan Terbaik, Inovasi & Rekacipta serta Program Jalinan. Ia merupakan satu tanda mengiktiraf kolaborasi antara kedua-dua pihak.
2. Anugerah Emas Amalan Terbaik dimenangi oleh UniMAP dan SMK Dato’ Sheikh Ahmad, Arau
3.Anugerah Gangsa Amalan Terbaik dimenangi oleh UniMAP dan SK Sena, Kangar
(Menerima Sijil Penghargaan dan Piala)
Anugerah Amalan Terbaik : Pelaksanaan berbentuk kaedah atau metodologi dalam pengurusan, kepimpinan, kurikulum serta pembelajaran dan pengajaran yang meningkatkan kecemerlangan pendidikan.
4. Anugerah Perak Inovasi & Reka Cipta dimenangi oleh UniMAP dan SK Sena, Kangar
(Menerima Sijil Penghargaan dan Piala)
Anugerah Inovasi & Reka Cipta : Pelaksanaan inovasi baharu dari proses sedia ada serta penciptaan baharu yang meningkatkan tahap pendidikan dalam bentuk kualiti, kuantiti dan pengetahuan.
5. Anugerah Perak Program Jalinan dimenangi oleh UniMAP dan SK Sena, Kangar
(Menerima Sijil Penghargaan dan Piala)
Anugerah Program Jalinan : Tahap dan impak penglibatan serta kekerapan sesuatu program.

Menurut YM Raja Shah Erman Raja Arifin, Pengurus Unit Kajian Strategik yang juga Penyelaras Program SKK-IPTA (UniMAP), pengiktirafan ini merupakan kejayaan tertinggi  yang pernah diterima oleh UniMAP sepanjang sumbangan yang tidak henti-henti kepada sektor pendidikan di Negara ini khususnya negeri Perlis.
“Walaupun UniMAP jarang sekali mewarwarkan sumbangannya kepada masyarakat, namun hari Alhamdulillah, tanggungjawab sosial UniMAP (USR) mendapat perhatian dan pengiktirafan di peringkat kebangsaan. Komitmen Pengurusan Tertinggi UniMAP, tenaga akademik dan staf pengurusan yang begitu komited adalah nilai tertinggi yang kita miliki sehingga memperoleh kejayaan ini”, katanya. Kelima-lima anugerah ini diterima oleh Raja Shah Erman mewakili pihak UniMAP bersama Pengetua SMK Dato’ Sheikh Ahmad dan Guru Besar  SK Sena. Anugerah disampaikan oleh Tuan Haji Sufaat Tumin, Timb. Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.
Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Dato’ Prof. Dr. Kamarudin Hussin ketika dihubungi melahirkan rasa setinggi kesyukuran dan memaklumkan bahawa hubungan antara UniMAP dan sekolah akan diteruskan dalam memastikan kelangsungan pembangunan sektor pendidikan di negeri Perlis seterusnya membentuk modal insan yang cemerlang di peringkat antarabangsa.
Pada majlis tersebut UniMAP, SMK Dato’ Sheikh Ahmad dan SK Sena berjaya mengungguli 19 IPTA lain dan 200 Sekolah Kluster seluruh Malaysia. UniMAP juga turut menerima Watikah Jalinan IPTA-SKKK Fasa 3,4,5 dan 6 yang disampaikan oleh Y.Bhg. Prof. Dr. Morshidi Sirat, Timb. Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi KPT serta menerima SKK yang baru iaitu SRK Seri Indera Perlis. Majlis yang dihadiri oleh semua wakil IPTA dan Pengetua SKK dari seluruh Malaysia diakhiri dengan bengkel penyelarasan program kerjasama bagi fasa ke-5 dan 6.
Program Jalinan SKK-IPTA (UniMAP) dipengerusikan oleh Y.Bhg. Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal (TNC Akademik & Antarabangsa) UniMAP dan disekretariatkan oleh Unit Kajian Strategik.


** NOTA
1. SMK Dato’ Sheikh Ahmad telah menyertai dan memperoleh kejayaan berganda di ‘The 3rd International Conference for Youth (ICY) anjuran National Research Centre for Gifted and Talented Education of Korean Educational Development Institute pada 26-27 Julai 2012 di Korea dengan kertas kerja bertajuk “The Development of Eco-Friendly Glass from Agricultural Waste” melalui program Jalinan SKK-IPTA yang dikoordinasi oleh PPK Bahan.
2. SK Sena telah membangunkan penggunaan, memaju dan mengaplikasikan Perisian Sumber Terbuka (Open Source System) dalam ICT di sekolah dan memenangi tempat pertama Anugerah MyGOSS 2011 anjuran MAMPU melalui program Jalinan SKK-IPTA Fasa 1&2 yang dikoordinasi oleh PPK Komputer & Perhubungan.
( 1 Nov 2012 )
UniMAP Mengungguli Anugerah Kecemerlangan Jalinan IPTA-SKK EDISI Pertama (2010   2012)


Last Updated on Friday, 02 November 2012 19:46
 

FAQs